Cara Bedung Bayi yang Betul dan Selamat (Langkah demi Langkah)

Ibu bertudung mendukung bayi dalam bedung zip TatoWrap warna kelabu di kerusi rotan, dengan kain batik di lengan kerusi

Oleh Pasukan Tinytato · Dikemas kini Oktober 2026 · Bacaan 5 minit

Jawapan ringkas

Baringkan bayi telentang di atas kain, bahu separas tepi atas kain. Balut kemas di bahagian dada sehingga dua jari masih boleh masuk antara kain dan dada. Biarkan bahagian bawah longgar supaya kaki bayi boleh bengkok ke atas dan terbuka. Tidurkan bayi berbedung secara telentang sahaja, dan berhenti membedung tangan ke dalam apabila bayi mula cuba berguling.

Masa dalam pantang, bidan atau mak yang bedungkan baby. Lipat, selit, lipat lagi, siap. Baby tidur nyenyak.

Lepas pantang, tinggal kita seorang. Pukul 3 pagi, baby menggeliat, kain terbuka lagi. Tak reti nak lipat-lipat.

Jangan risau. Ini cara bedung yang betul, langkah demi langkah, sama ada dengan kain atau bedung zip.

Dalam artikel ini

Kenapa bayi dibedung?

Bayi baru lahir ada refleks kaget. Bunyi kuat atau pergerakan tiba-tiba buat tangan bayi terkejut dan terangkat, lalu bayi terjaga dan menangis.

Bedung memegang tangan bayi dekat dengan badan, jadi refleks kaget kurang mengejutkan bayi. Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), bedung yang dibuat dengan betul boleh membantu menenangkan bayi baru lahir.

Bedung bukan wajib. Ada bayi yang suka, ada yang tak suka. Kalau bayi tidur lena tanpa bedung, itu pun tak apa.

Bagaimana cara bedung bayi dengan kain?

Gunakan kain nipis berbentuk segi empat sama, kira-kira 100 hingga 120 cm setiap sisi. Kain muslin kapas atau buluh sesuai. Langkah ini mengikut kaedah yang disyorkan oleh International Hip Dysplasia Institute.

  1. Bentangkan kain seperti berlian. Satu bucu menghala ke atas. Lipat bucu atas ke bawah kira-kira 15 cm.
  2. Baringkan bayi telentang. Bahu bayi betul-betul di bawah lipatan tadi.
  3. Balut sisi kiri. Luruskan tangan kiri bayi perlahan-lahan ke sisi badan. Tarik kain sebelah kiri merentasi tangan dan dada, kemudian selit di bawah badan sebelah kanan.
  4. Lipat bahagian bawah. Lipat bucu bawah ke atas dengan longgar. Pastikan ada ruang untuk kaki bengkok dan terbuka seperti kaki katak.
  5. Balut sisi kanan. Luruskan tangan kanan, tarik kain sebelah kanan merentasi badan, dan selit di bawah belakang bayi.
  6. Semak. Dua jari boleh masuk antara kain dan dada. Kain di bawah dagu, jauh dari muka. Kaki boleh bergerak.

Perlu latihan. Biasanya ambil seminggu dua sebelum kain tak terbuka lagi pada waktu malam.

Bagaimana cara guna bedung zip?

Bedung zip ialah beg tidur yang dibentuk untuk memegang tangan bayi. Tak perlu lipat.

  1. Buka zip sepenuhnya dan bentangkan bedung.
  2. Baringkan bayi telentang di dalamnya, bahu separas leher bedung.
  3. Letakkan tangan bayi mengikut bentuk bedung. Dalam TatoWrap, tangan bayi berada di atas, dekat dengan muka.
  4. Zip ke atas, berhenti di bawah dagu.
  5. Semak leher bedung tidak terlalu longgar sehingga boleh menutup mulut, dan kaki ada ruang di bawah.

Siap. Zip dua hala juga bermakna anda boleh tukar lampin pada pukul 2 pagi tanpa membuka seluruh bedung.

Bedung kain Bedung zip
Kemahiran Perlu latihan Tak perlu. Zip dan semak
Waktu malam Boleh terbuka bila bayi menggeliat Tak boleh terbuka
Tukar lampin Buka dan bedung semula Buka dari bawah (zip dua hala)
Ruang pinggul Bergantung pada cara lipat Sudah ada ruang di bahagian bawah
Harga Lebih murah Lebih mahal

Berapa ketat bedung yang selamat?

Kemas di dada, longgar di pinggul.

  • Dada: dua jari boleh masuk antara kain dan dada bayi. Terlalu ketat menyukarkan pernafasan. Terlalu longgar, kain boleh naik ke muka.
  • Pinggul dan kaki: kaki mesti boleh bengkok ke atas dan terbuka. Menurut International Hip Dysplasia Institute, membedung kaki lurus ke bawah dan rapat boleh meningkatkan risiko displasia pinggul (masalah sendi pinggul).
  • Muka: kain sentiasa di bawah dagu.

Orang dulu-dulu kata bedung kaki lurus-lurus supaya kaki tak bengkok. Sebenarnya kaki bayi akan lurus dengan sendiri bila membesar. Jangan ikat kaki bayi lurus dan ketat.

Bahagian pinggul yang longgar sangat penting. Pada tahun 1975, Jepun menjalankan kempen kebangsaan supaya bayi tidak dibedung dengan kaki diluruskan. Kadar sendi pinggul terkehel dalam kalangan bayi turun daripada setinggi 3.5% kepada kurang daripada 0.2%, menurut International Hip Dysplasia Institute (Bahasa Inggeris).

Bedung dalam bilik aircond atau bilik berkipas?

Cuaca kita panas, jadi kurangkan lapisan, bukan tambah.

Bilik malam ini Di dalam Di luar
Kipas sahaja, malam panas Lampin sahaja Bedung nipis. Kalau dada bayi masih panas atau berpeluh, jangan bedung untuk tidur itu
Aircond 24°C hingga 26°C Baju lengan pendek (onesie) Bedung
Aircond 23°C ke bawah Baju lengan panjang Bedung

Tak perlu selimut di atas bedung. Selimut longgar boleh menutup muka bayi. Rasa dada atau belakang leher bayi: hangat dan kering bermakna cukup. Panas, berpeluh atau rambut basah bermakna terlalu panas. Tangan dan kaki yang sejuk adalah normal. Panduan penuh ada dalam artikel What should baby wear under a swaddle in aircond? (Bahasa Inggeris).

“My baby seems sleeps more comfortably with kain yang sejuk ..”

— Seorang pelanggan Tinytato, tentang TatoWrap

Bila perlu berhenti bedung bayi?

Sebaik sahaja bayi mula cuba berguling, bukan pada umur tertentu. AAP menyatakan ada bayi yang mula cuba berguling seawal 2 bulan.

Kenapa? Bayi yang terguling meniarap dengan tangan terbedung tidak boleh menolak badan atau mengalihkan kepala. Jadi apabila bayi mula berguling, keluarkan tangan bayi: satu tangan dahulu selama beberapa malam, kemudian kedua-dua tangan.

Tanda-tanda lain bayi sudah bersedia: selalu terlepas dari bedung, melawan bila dibedung, atau suka menghisap jari untuk tidur.

Peraturan tidur selamat untuk bayi berbedung

  • Sentiasa tidur telentang, atas tilam katil bayi yang rata dan padat.
  • Katil kosong: tiada selimut longgar, bantal atau bantal peluk.
  • Jangan guna bedung berpemberat.
  • Perhatikan tanda terlalu panas: berpeluh, rambut basah, pipi merah, ruam panas atau nafas laju.

Pilihan kami

TatoWrap Bamboo Swaddle (0–3 bulan), RM119. Bedung zip daripada campuran buluh 95% yang ringan, sesuai untuk malam yang panas. Tangan bayi di atas dekat muka, zip dua hala berlapik, dan ada ruang di bawah untuk kaki bengkok. Tak perlu lipat-lipat. Zip, semak, siap.

Bila bayi mula berguling, TatoWrap+ (3–6 bulan), RM129 ada lengan yang boleh ditanggalkan untuk tidur dengan tangan di luar.

Soalan lazim tentang cara bedung bayi

Jawapan ringkas kepada soalan yang paling kerap ditanya.

Bagaimana cara bedung bayi yang betul dan selamat?

Kemas di dada, longgar di pinggul, kain di bawah dagu, dan bayi sentiasa tidur telentang. Berhenti bedung tangan ke dalam apabila bayi cuba berguling.

Berapa lama bayi perlu dibedung sehari?

Bedung hanya untuk tidur, siang dan malam. Bila bayi berjaga, menyusu atau buat tummy time, buka bedung supaya bayi boleh gerakkan tangan dan kaki.

Bedung tangan ke atas atau ke bawah?

Kedua-duanya boleh selamat. Pilih kedudukan yang buat bayi paling tenang.

Boleh bedung bayi dalam bilik aircond?

Boleh. Pakaikan baju nipis di dalam, bedung di luar, dan jangan halakan angin aircond terus ke katil bayi.

Bayi saya selalu terlepas dari bedung. Kenapa?

Mungkin balutan pertama terlalu longgar, bayi mahu tangan dekat muka, bayi terlalu panas, atau bayi sudah bersedia untuk berhenti dibedung.

Baca seterusnya: Senarai barang dalam beg baby: apa perlu bawa keluar

Sumber

Artikel ini ialah maklumat umum, bukan nasihat perubatan. Jika anda risau tentang bayi anda, sila jumpa doktor atau Klinik Kesihatan.

Newborn sleeping in a grey TatoWrap bamboo zip swaddle with arms up, for 0 to 3 months

Continue reading